Wednesday, November 28, 2007

Sayembara Puisi MAIDAM-DBP 2007









Hadiah Utama- Fahd Razy










Satu




Bahasa Kejadian

Kelahiran menganugerahi kita makna insani.
Mengenal roh dan darah,
mengenal daging mengenal tulang
mengakrabi tanah dan kefasadan,
betapa kekerdilan segenapnya menuju kematian.

Semesta bahasa kejadian
adalah bisik burung-burung, ikan dan udang,
jua tasbih rumput-lalang dan gunung-gemintang.
Bahasa kejadian adalah tafakur kemaujudan dan pengakhiran,
jua keakraban fitrah dan kezahiran.

Fitrah insani yang tertanam dalam tanah,
fitrah malaikat yang terbancuh antara nur,
fitrah jin yang terbentur dari api,
fitrah batini yang menyusur dalam tahajud,
fitrah tahajud mengaramkan sejuta rahsia ta’bud,
antara kefakiran malam yang tunduk,
dan kecantikan Satu Penakluk.

Sehelai daun yang terlucut,
dan sejuta embun yang dipeluk rumput,
tak sekelumitpun luput
dalam sifir al-qadar
dan Maha Ilmu yang tak terjangkau.

Fitrah makhluk pada usia kefanaannya,
fitrah penyakit pada rahsia penawarnya,
fitrah siang dihadam oleh malamnya,
fitrah zikir bertumbuh kelazatan khusyuknya,
fitrah seluruh roh dan segala wujud bertaut
di hujung kun fayakun-Nya.

Betapa setitis Maha Kasih tertumpah
mengeras jadi selangit anugerah.

Dan ketika sangkakala membaca kefanaan zaman
yang berdiri hanya Cinta yang tak pernah padam
dan keangkuhan makhluk yang terbenam,
tatkala segala kejadian adalah daun terlucut
dan embun yang berpuput
melutut di hujung rumput rahsia-Nya.





Eden Quay, Dublin




November 18, 2006
Antologi puisi, cerpen, dan khat ‘Madrasah Kebenaran’, 2007









Dua
Nota Kecil Seorang Pembaca Kejadian[1]
South Circular Road, Dublin
Mei 15, 2007

Kubuka sebuah buku sepi di hujung Isyak
menelaah contengan diri
dalam takungan huruf-huruf peribadi
ketika senaskhah usia ini kian renyuk menguning
diusangi kerenah
dan sawang peristiwa.

Ya Kekasih yang hampir, bungkuslah aku
dalam gebar renungan yang menyamankan amalan.
Akulah lelaki dengan sepotong iman di kanan
dan sebilah akal di kiri
telah kubedah nafsu telah kugeledah
sekujur manusiawi. Betapa
inilah pelajaran yang teramat rahsia
mengajar aku menimbang sejagat cakerawala
dan sebutir tasbih
pada neraca maknawi yang sama.

Siapakah lagi yang dapat selain kesenyapan malam
menuliskan tentang harga seluruh kewujudan
sepasang peparu yang membancuh udara
seketul jantung yang memetik nadi
selerak pembuluh yang menakung darah
serangka temulang yang menyeka jasmani
sedaging hati yang mengasuh naluri.
Juga seorang aku yang tertampal
di kontur peta kosmos ini.
Alangkah aku ini sepatah aksara yang tumpah
dari setitis dakwat cinta-Mu yang melimpah.

Amalan yang terkoyak
ibadah yang tersayat
oleh gelojoh dan haloba
tetap kubukakan kepada-Mu, tetap
biar yang tinggal cuma perca-perca munajat
dari nota renungan yang tersiat.
Telah kukutip seluruh diri yang berkecai
di marmar duniawi
tetap aku yang diciptakan-Mu, tetap aku
segenggam tanah
yang menyubur sesejuk rukuk.

Kau yang Tinggi
tetap juga Kau yang Maha Wujud.





Tiga




Madrasah Kebenaran

Muhammad yang membangunnya di tengah rimba Quraisy
menggiring serpih cahaya ribu-ribu matahari
dari Hira’ ke lembah Mekah
dari Hira’ ke jazirah Madinah
dari Hira’ ke batini Khadijah yang tak kenal gugah.

Rumah inilah yang menghimpun sejagat cakerawala
dalam seketul daging imani
bumbung wahyu yang bersepuh sabda
dinding syariat terbilas tarbiah
tak akan luka dihumban seribu kerikil Taif
tak juga terlakur
walau digempa segunung api fitnah.

Siapakah lagi jika bukan Abu Bakar yang Pembenar
tiang ampuh biar dipagut ular Tsur
juga Usman yang terlalu dermawan
menjual duniawi untuk menelan keimanan.

Sejuta zaman telah memasukinya
dengan sayap aqli dan kenal diri
seperti hijrah musim gugur para burung
merebut khazanah ghaib
yang tertumpah-limpah dari benua langit
ke nurani Muhammad yang menyarat amanah
dari sungai langit
ke kolam Muhammad yang terbancuh mukjizat.

Siapa, siapa pula selepas Sumaiyah
yang menukar lembing ujian membocori jasmani
menjadi sekuntum La ilaha illallah
Muhammadur Rasullullah
atau Ali subur jiwanya dimakmuri hikmah
dan Bilal ibnu Rabah seribu batu gagah
menjemur kesetiaan di tengah hawa gurun Jahiliyah.

Sebuah madrasah yang dikebuni syahadah
Muhammad meladanginya dengan cinta paling putih
paling jernih dan terlalu putih.
Jangan dikunci lidah maknawi
masuk dan jamahlah hidangan hakikat
kecapi ranum rahmat yang memekat
dalam rahsia kalimah
yang tergantung di bilah sayap para malaikat

Madrasah ini yang menakung seribu aksara mulia
akan sianglah pelosok cakerawala
saat pintu rabbani dibuka dan jendela ruhi diseka
tersimbah selaut haruman rahsia
bersubur sekuntum aqidah
dari kelopak iman yang paling merah.





South Circular Road, DublinMei 10, 2007









Empat




Nota Kecil Saat Menyeberang Usia





Kakiku luka dalam perjalanan
tertoreh serpih silam yang berkecai dibedal
bongkah-bongkah usia bergelimpangan.

Betapa kurasakan awan-awan duniawi
semakin kugenggam semakin jauh tersempadan
dibawa angin kefanaan
semakin kucuba untuk berteduh semakin terik
panas materi membakar diri. Alangkah
dalam cuaca majazi ini segala mendung yang dikejar
beransur menjadi
iklim sunyi yang membunuh peribadi.

Apa lagi yang tinggal untuk aku gemburkan?
Sebidang gurun atma yang garing
dan aku yang masih meladanginya
dengan doa yang kering
tetap kugali amalan
tetap kusaliri rekah-rekah kesujudan
sedang waktu dan ajal tetap menjadi
catatan azali yang tak berjawapan.

Masih dapatkah kutukar padang kedahagaan
menjadi setaman akidah yang mekar?
Dapatkah kujinakkan jengking dan ular
menjadi pipit dan kupu-kupu di pohon iman?

Saat menyeberang tanah usia
tiada buahan yang kubawa
tiada bunga, tiada haruman
tiada kesturi, tiada kuntuman
cuma sehelai putik daun
merenek dari sebenih keikhlasan.

Rabb,
biar hijaunya ranum
hingga ke ufuk musim ujian.





South Circular Road, Dublin




Jun 1, 2007














Lima




Tentang Malam

Malam yang terbancuh sunyi adalah lautan rahsia
yang mengasuh ikan-ikan rohani mengenal
dalamnya karang peribadi.

Diam yang terisi munajat adalah cakerawala raya
yang memasangkan sayap pada aksara doa
menuju sebaris awan nasuha

Gelap yang disuluhi renungan adalah ladang taqwa
yang menggemburi pokok batini yang rendang
ranumnya bertumbuh buahan akal.

Dingin yang disuburi khusyuk adalah sebidang cinta
yang menumbuhkan rerumput ihsan di padang ikhlas
menguntum jadi sejambak kurnia.

Sendirian yang terbilas ibadat adalah belantara cahaya
yang menakung beburung rezeki dan ketaqwaan
ke dalam sarang amal.

Juga seorang aku yang dibungkus usia
adalah seketul daging kefanaan
yang diconteng materi. Setiap nafas
yang direnyukkan duniawi
juga amal yang dicemar gelojoh manusiawi
kubawakan juga pada-Mu, kubawa
dengan cinta yang berkucuran
dengan rindu yang bertaburan. Betapa
sebuah malam yang dibasuh muhasabah
adalah perjalanan nurani
menuju fajar-Mu yang dilimpahi embun ukhrawi berselerakan





South Circular Road, Dublin.




Mei 28, 2007

No comments: