Oleh: Fieza Nur
Tersiar di majalah Sastera.net, edisi ketiga
Bang! Bang! Bang!
Tiga kali, sah itu abi. Marisa lekas membuka pintu. Dia benar-benar khuatir askar-askar Trinitarian Christian datang menyerbu rumahnya.
“Cepat, kita harus pergi dari sini. Bawa apa yang perlu sahaja. Elvira sudah mati bahana potro.”
Marisa terlopong dengan kata-kata abinya.
“Tapi, bukankah, Elvira sedang mengandung…”
Kata-kata Marisa hilang di situ, terbayang Elvira yang sedang mengandung 6 bulan menemui ajalnya di potro. Marisa dengan ngeri terbayangkan Elvira dipasakkan pada tiang kayu dengan kedua-dua belah tangan dililit oleh tali, lilitan demi lilitan, tujuannya, supaya Elvira mengaku ‘kesalahan’ yang direka-reka musuh Islam.
Abi Marisa, Abu Dzar menyulam khabar tragedi itu dengan air mata. Dia memeluk anak gadis yang kini merupakan satu-satunya anaknya yang tinggal. Yang lain, Abd Rahman meninggal di tangan garrucha dua mingu lepas.
Celaka askar Kristian itu! Mereka menuduh Abd Rahman cuba kembali kepada Islam setelah mendapati Abd Rahman tidak bekerja pada hari Jumaat. Sejak Trinitarian Christian menakluk Toledo, semua muslim atau dipanggil moors dibaptiskan secara paksa, jika tidak mahu diseksa hingga mati atau dibakar hidup-hidup. Mereka sekeluarga dibaptiskan secara paksa.
Abu Dzar tahu, pembaptisan secara paksa itu hanya cara Trinitarian Christian menghalalkan pembunuhan kejam mereka. Abd Rahman kini mangsanya. Mereka menuduh Abd Rahman cuba kembali kepada Islam dan memaksa anak lelakinya mengaku ‘kesalahan’ itu dengan menyeksanya.
Abd Rahman syahid dalam keadaan ngeri. Tangannya diikat di belakangnya dan beban berat digantung pada kakinya. Abd Rahman digantung di tempat tinggi dan dilepaskan menyebabkan beban berat di kakinya menarik tendon-tendon dan mematahkan sendi-sendi.
Ah, aku takkan biarkan nasib sama menimpa Marisa. Akan aku pertahankan dia sedaya mungkin. Allah, bantulah kami. Kami lemah…
Abu Dzar menyeka air matanya. Dia menuju taman dalam rumahnya dan mengodek-godek air dalam pancutan air. Mata Marisa silau oleh keping-keping emas yang dikeluarkan dari pancutan air.
“Mari Marisa, kita perlu lekas. Sudah kamu siapkan barang-barang kamu? Bawa yang perlu sahaja. Dinar-dinar emas dan perak yang lain abi tinggalkan di sini. Ia hanya harta duniawi yang mempesona kita dan melupakan kita pada agama kita. Mungkin ini balasan dari Allah.”
Nada sesal melingkari kata-kata itu, Abu Dzar lantas menarik tangan anak gadisnya. Mereka melewati malam yang dingin melepasi Mezquita de La Cruz. Marisa sekilas memandang masjid tempat dia belajar al quran bersama abangnya Abd Rahman, namun semuanya kini hilang dalam kenangan yang pahit. Mezquita itu kini dikunci rapat oleh Trinitarian Kristian.
“Abi, kita mahu ke mana?”
Marisa bertanya sewaktu Abi memacu kuda yang dibeli dengan dinar emas yang dibawanya tadi dengan Hertz, orang Yahudi yang mengalami nasib lebih kurang sama dengan orang Islam di semenanjung Iberia.
“Kita akan ke kerajaan Granada. Di sana masih ada pemerintah islam, Kita sudah tak mampu bertahan di sini. Kita dah dibaptiskan secara paksa, kita dilarang mengamalkan ajaran islam malah kita diharamkan menjejak kaki di masjid yang kita bina, apatah lagi untuk solat di dalamnya. Mereka hanya mampu menghapuskan bukti Islam pernah wujud di semenanjung Iberia ini dan itu termasuklah menghapuskan penganut islam dalam proses Inquisition mereka. Abi harap saki baki muslim yang ada di Andalus ini berhenti bergaduh sesama sendiri dan mengumpul kekuatan di kerajaan Granada.
Marisa memeluk bapanya erat sambil teringatkan kisah abinya dulu yang walaupun diserang oleh Trinitarian Kristian dari segenap penjuru, muslim di Andalus masih enggan bersatu, malah ada kerajaan kecil yang meminta bantuan Trinitarian Kristian untuk menghapuskan kerajaan Islam kecil yang lain...(BERSAMBUNG)
(UNTUK MEMBACA LANJUT SILA DAPATKAN ANTOLOGI CERPEN JALAN JAUH KE RAMALLAH!!!)
Wednesday, November 28, 2007
Yang Terlepas Bilakan kembali
Posted by GKLN Publishing House (GPH) at 11:42 AM
Labels: cerpensiar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment