Showing posts with label puisisiar. Show all posts
Showing posts with label puisisiar. Show all posts

Sunday, January 11, 2009

Bahasa Tragedi











Bahasa Tragedi

(Sesudah Gaza berdarah, untuk yang hanya menonton)



Di mediamu, peluru

hanyalah seuncang berita

dari setinggan dunia

yang direputkan propaganda.



Kematian adalah tiket wayang

yang kau longgokkan

di pangsapuri Hollywood

dan karpet merah berjenama.



Tak pernah kau meneguk

kesakitan,

seperti terlalu kami hauskan

kesentosaan.



Pula, di mata kami

itu sekawan merpati syurgawi

tunggangan pulang

nyanyi ke pertiwi abadi.



Fahd Razy, Dublin
(Mingguan Malaysia 11 Januari 2008)


[+] Baca Selanjutnya

Tuesday, September 9, 2008

Ikan Dalam Jiwa













IKAN DALAM JIWA

(Ramadhan yang memerdekakan)



Lumut mengecat kaca

dan gundah ikan

lemas di lubuk jiwa.



Ramadhan yang tiba

mengetuk-ngetuk

tingkap akuarium dalam dada.



Pecah di hujung witir

terlepas ikan

berpusuan ke sungai akhir.



Fahd Razy

Kampung Padang Midin, Terengganu

3 Ramadhan 1429H

(Disiarkan di Berita Harian, 6 September 2008)

[+] Baca Selanjutnya

Wednesday, June 4, 2008

Puisi-puisi tersiar dari GKLN-Mei dan Jun








Di bangku tua (Siapa aku?)



Di bangku tua

dalam taman Tyepli Stan

duduk aku sepi sendirian

diam mengamati muzik alam

harmoni bunyi irama Tuhan

pesona lunak lagu penciptaan




Di bangku tua

musim semi yang berbunga

tulip indah pelbagai warna

kuning dandelion mempersona

kicau merpati yang berzikir

tua muda sama mudar-mandir

sejenak lantas aku berfikir,

'Siapakah aku dalam musafir?'



Di bangku tua

hakikat diri dan alam

rahsia setiap kewujudan

bukanlah sebuah permainan *

Sang Pencipta yang bosan

hidup sendirian tidak berteman



Di bangku tua

aku menyedari satu hakikat

aku dan dia adalah pekerja

hamba Raja segala dunia

merantau jauh kembali juga

taklif Tuhan atas penciptaan

semakin aku mengenal diri

semakin kuinsafi jiwa ini!




http://khairilidham.wordpress.com
Khairil Idham Ismail

moscow, russia

1341 sabtu

april 19, 2008

rabiulakhir 12, 1429

Disiarkan di Mingguan Malaysia 25 Mei 2008




0.2 hektar yang hilang



Mahkamah Keadilan Antarabangsa

bersidang, siapa Tuan Pedra rlanca?

Batu Putih rebutan dua nusa,

sempadannya sejarah, hujah

atau jarak yang memisah?



Ada tangis, ada senyuman,

kalah menyerah, menang kegembiraan,

Hakim Awn Shawkat memutuskan,

Batu Putih bukan di tangan

Malaysia, tapi Singapura

pulau itu bukan terra nullius, dakwanya!



Ada yang bilang,

Middle Rocks dan South Ledge pengubat walang,

sekangkang 0.2 hektar yang hilang

itu tanda menang-menang!



Namun sedarlah sayang,

pemuda-pemudi masa depan,

biar pantas mengikut zaman,

sejarah dilupakan jangan,

kelak kita tangisi,

hingga meratap tiada guna lagi,

berapa kangkang pula milik bertukar ganti!



http://khairilidham.wordpress.com
khairil idham ismail

moscow, russia

0006, may 26 , 2008


Disiarkan di Mingguan Malaysia 1 Jun 2008




SENYUMAN NAKHODA YANG DITINGGALKAN

(Monolog agung kepada Seniman Tan Sri P. Ramlee)



Bait-bait berbicara

menjalar menjadi segumpal tanah perwira

dalam warna layar skrin kaca

berkilau bagai sultan istana bernyawa.



Dikau perwira menyemarak gelora sukma

melukis watak tegar perajurit nakhoda

berlabuh di tengah-tengah laut keagungan

ukiran irama jadi warisan

tenggelam di dasar syair puitis belantara

memukul ombak-ombak perjuangan di atas tinta.




Agung karyamu laksana bulan purnama

menjunjung falsafah tersirat

menyulam wibawa sejagat

tak henti melagukan kenangan bersama

Aziz Sattar, S. Shamsudin dan Saloma

menghimpun di bawah sarwajagat lama.



Telah basah nostalgia seorang nakhoda

tatkala membasuh sejarah lampau

patah sauh tajam

padam dalam diam

hilang bawa zaman.



Lenyaplah dikau dalam dunia seni

membawa sebongkah senyuman

melukis sepetak pengertian

seorang seniman.



SYAFIQ ZULAKIFLI
http://typeace.blogspot.com

KAHERAH, MESIR

Disiarkan di Mingguan Malaysia 1 Jun 2008

[+] Baca Selanjutnya

Tuesday, May 13, 2008

Puisi-puisi tersiar dari GKLN-Mei





Puisi-puisi ahli GKLN yang tersiar! Mei 2008










SEJARAH NABI MUSA



Lurah terapung damai

menyinari langit Subuh Saint Catherine

hingga tiba waktu menyaksikan

kudrat Tuhan bersatu di bawah cahaya kedamaian

yang tersusun kemas dalam catatan-Nya.



Dataran Sinai mencoretkan sejarah dalam-dalam

saat Musa berbicara dengan Tuhan

sebidang keemasan iman terjual oleh firman-Nya

dan sepelaung ketakwaan bermandi dalam sujud

yang panjang.



Siang malam munajatmu tak terhenti mengharap

keringat basah mencerakinkan malang Firaun

berpaut pada Tuhan yang Maha Esa.



Kedamaian tidak pernah ghaib dengan

sorotan sirah bersahut Asmaul Husna

hingga meniti lurah-lurah keinsafan

dan mendayung nur pengharapan

pada sebuah Hamam yang kudus.



Sudah puas kau menanggung beban

tika menyaksikan umatmu bergelora dendam

hingga genaplah dalil Tuhan

Yang Maha Mendamaikan mencoretkan

sebuah sejarah dalam al-Quran.




SYAFIQ ZULAKIFLI

Kaherah, Mesir.



(c) Berita Minggu, 11 Mei 2008









PERINGATAN KECIL DARI TUHAN

(untuk mangsa-mangsa Taufan Nargis, Myanmar)



Derita malang ini

merakam dunia yang degil

saat tenat menanggung beban

insan, haiwan dan ternakan

yang sombong pada Tuhan.



Meskipun telah kau soroti peristiwa lama

saat Aceh lakar cerita derita

tsunami mencurahkan seuncang kehidupan

dan Bangkahulu mentalkinkan segugus marah bumi

mengumpan dalam diam.



Sudah puas aku bekalkan;

khasiat satu peringatan

keramat satu perdamaian

zulmat satu penindasan

tanpa dendam persengketaan

kepadamu.



Nargis yang membakar ini

adalah ladang merah buat kami

yang mengerti segeluk panah

keparahan diri.



Tuhan Maha Mengerti

setiap hakikat ketulusan hati

manusiawi dan insani

agar bersatu di bawah cahaya keimanan

aman dan damai.




– SYAFIQ ZULAKIFLI

MUSTAFA NUHAS,

KAHERAH

(c) Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008







Sang Semut




Apa khabar sebening nurani

yang telah kuladangi dulu- aku masih

seekor serangga yang kembali

memanjat ranting diri

setelah kutinggalkan

rerumput sunyi

menjadi renek di padang peribadi



Apa khabar cakerawala dan petala bumi,

apa khabar para sahabat azali- ternyata

kau masih jujur menjadi keakraban hakiki;

akulah hidup dan kau kematian

akulah kerdil dan kau akal fikiran

akulah nafsu dan kau renungan

akulah cinta dan kau kemulusan

akulah ibadat dan kau kekhusyukan

akulah pengembara dan kau kerikil perjalanan

juga akulah fana, fana yang menggelepar

di kandang ujian

dan tetap kau istighfar yang berpanjangan

memimpin aku ke sarang asal

busut meninggi

dan tanah yang berlumpur tegal.



Aku merangkak di antara kalian

dari akar semi ke puncak rahsia tertinggi

dari benih putik ke buahan batini,

dedaun tersimbah embun maknawi

hijau dan ranumnya, aku

yang berteduh

membilang saujana rezeki.



Di negeri inilah

aku sesat mencari sekeping matahari

betapa makin kuterokai lalang diri

semakin aku adalah semut-Mu

semakin aku-

akulah semut-Mu.





FAHD RAZY

Upper Rahtmines Road, Dublin

September 3, 2007


Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008




[+] Baca Selanjutnya

Puisi-puisi tersiar dari GKLN-April





Puisi-puisi ahli GKLN yang tersiar!









Syurga Merpati Putih

http://emilputra.wordpress.com


Di sini merpati mematuk gandum;

gugur dari rangkaian kasih,

tuaian budi,

keluhuran hati.







Di sini merpati

mengirai-iraikan sayapnya;

lencun waktu bersiram di kolam jernih embun pagi,

meraikan salji

lewat turun

lembah ini.


Di sini merpati terbang girang,

meniti balada mentari.

Kerdipan jalur menyisip di celahan pawana

menggetarkan sanubari,

menaungi lembayungan-Nya.



Di sini merpati membina istana;

Kembang kelopak dandelion

mengharumi,

meliliti gerbangnya.



Bercicip,

berkicau,

berciak,

bersenandung irama gerak tari lemah gemalai sukma,

penuh pesona

nyanyiannya.



“Jika tiada sengketa

dunia menjadi syurga

teduhan kita bersama.”



“Jika tiada sengketa

dunia menjadi syurga

teduhan kita bersama.”



Emil Azhar,

Galway, Ireland

4 Februari 2008.

Disiar di Buletin Gema Mukminin PPIMG, Februari 2008








SEBUAH PENGHARAPAN II
http://typeace.blogspot.com



Pada sebuah kedamaian kecil

ada tinta menari lesu

dan jari-jari mula bersabda

bantulah aku,bantulah aku.





Dan ketikanya

ratapan agung yang memuncak

dikelahi tabir-tabir cinta mengharap

dari pagi ke dinihari

dari subuh ke senja begini

tunggu Izrail menjemput nanti.



Tuhan ajarkan aku erti taqwa

latihkan diri berkhairatkan pahala

gersang meneroka bias-bias haloba

menuntut nafsu raja.



Dari kalbu yang dingin ini

Ampunkan aku Tuhan!



SYAFIQ ZULAKIFLI

Kaherah, Mesir

Disiar di Berita Minggu, 20 April 2008




[+] Baca Selanjutnya

Saturday, December 15, 2007

Kubur Kita Lain-lain

Oleh Syafiq Zulakifli
Disiar di Berita Minggu, 21 Oktober 2007


Kubur kita lain-lain,
itu sebab
kita alpa.
Kubur kita lain-lain,
itu sebab
kita tidak rasa berdosa.
Kubur kita lain-lain,
itu sebab
kita hanya ghairah sentiasa.

Kubur kita lain-lain,
itu sebab
kita tidak hairan hukum Allah semua.
Mudahnya kita,
kubur kitakan
lain-lain.


SYAFIQ BIN ZULAKIFLI
Tiram Indah Village, Ulu Tiram, Johor.
http://typeace.blogspot.com

[+] Baca Selanjutnya

Mencantum Luka di Langit Al Quds III

Oleh Fahd Razy
Disiar di Mingguan Malaysia, 9 Disember 2007





Mencantum Luka di Langit Al Quds III
(untuk sahabat)

Darah renta menitis ke pelipis matahari
dari luka zaman yang terhunus tragedi.
Cuaca yang rahsia dan hujan
berjelaga- Uh! sahabatku, gerimis
membongkah dan angin membilah
tetap kau yang datang berlarian
membonceng tubuh yang terconteng
kapur perang
mengutip peluru antara selerak debu
moga-moga dalam kocekmu
ia jadi sebiji tamar madu
untuk membebat pedih ibu.

Di negeri ini air mata adalah matawang
untuk membeli kehidupan
dan kelaparan menjadi roti beracun
di sepinggan harapan. Kautetap memilih
keberanian sahabatku, kaumenelannya
batu kasar dan suara yang tak kenal gusar
meski lidah tercedera
dan kerongkong dicalar
sengsara- betapa segelas muslihat
dari tangan pengkhianat, katamu,
“selamanya adalah kedahagaan yang memekat”.

Bumimu yang terbakar, sahabatku,
biar, biar tumbuhnya
esok syurga yang mekar.

Saat kemanusiaan cuba menjahit
langit sejarahmu yang tersayat- Uh! hurufmu
dan darah langit- merahnya
masih tak dapat kubeza.

Fahd Razy
Upper Rathmines Road, Dublin
September 2, 2007

[+] Baca Selanjutnya

Friday, November 30, 2007

Menggeledah Nurani

Oleh: Fahd Razy
Disiar di Mingguan Malaysia 14 Oktober 2007





Kukecaikan balang malam
menjadi kaca sunyi yang menghiris nurani
tatkala cedera muhasabah yang pedih
dan amalanku yang terserpih, menjelang fajar
segalanya cicir bersepahan di padang duniawi
antara rerumput sihat, embun pahala yang pekat
dan ular haloba
yang melingkar di sebalik nikmat

Saat ini aku kembali menjadi pengembala peribadi
meneroka rimba serigala dalam diri.
Amanah-Mu, ya Rabb
kadangkala terlepas jua dibaham manusiawi
akulah manusiawi, akulah juga insani
yang kecur pada sepinggan majazi. Betapa
anggur materi yang tumbuh dari indera
dan sepercik iman yang menumpah dari gelas atma
jua aku terkeliru mengecap
yang mana duniawi mana abadi
yang mana diri mana hakiki.

Telah tersimpan kebun anugerah yang segar
di hujung Sakarat; juga kepanasan hukuman yang likat
di bawah seutas Sirat. Meski
kuhimpun rukuk kupungut seluruh sujud
jua tak terbebat luka kebodohan insani
akulah insani, tetap akulah manusiawi
yang menggelupur
terhunus sebilah ketakburan batini.

Segelas istighfar yang bening kutuang dari bikar sepi
segugus hamdalah yang manis berbuah di pohon
nurani. Ya Rabb, izinkan
kuhirup dinginnya
rezeki ruhi yang harum dalam qiam. Telah
halkumku berdarah menelan fana
dan kini kutulis asma-Mu pada lidah
moga seluruh aksaraku
tumpahnya memburu kesegalaan-Mu

Fahd Razy
Jun-Ogos 2007
Dublin-Cheras-Padang Midin

[+] Baca Selanjutnya

Thursday, November 29, 2007

Andai kau Mengerti

Oleh: Ainaa Mardhiah Suhaimi
Disiar di majalah Sastera.Net, edisi pertama




Andai Kau Mengerti




Usah disapa derita lama
Redup sirna senyum duka
Imbas layar bersama
Rabitah Hangat Semalam
Tautan rindu mekar setaman.

Ukhti,
Tambatkan untukku kuda putih
Kenalkan Abrar padaku
Bawaku pergi bersama
Rindu salam agung dari Raudhah
Titipan cinta Habibullah
Sampaikan salamku salammu
Moga disambut mesra

Ukhti,
Ingin saja kudakap temu
Kaupandang senyum sayu
Mari sini sayang
Ukhti, air mata ini gugur sudah
Kaucuba seka dengan jari rindu
Istighfar dulu
Munajat dulu.

Kata ukhti ku di sisi
Seiring bersama
Jangan kau tinggalku sendiri
Bawaku bersama
Dalam lara gelita
Kulihat ukhti dengan mata yang lain
Empangan ini pecah lagi
Sendu kaku bisu
Selindung kelam rahsia
Hujanku di sini
Megamu di sana
Andai kau mengerti.

Ainaa Mardhiah Suhaimi
Rabat, Morocco3/5/2006 =10:23:34

[+] Baca Selanjutnya

Wednesday, November 28, 2007

Bicara Dengan Bulan

Oleh: Siddiq Osman
Disiarkan di Mingguan Malaysia 11 November 2007

Bicara Dengan Bulan.

Sudah adat sudah hakikat,
munculmu mengganti suria.
Sudah sunnah itulah aturan,
dikau mengambang dikau menghilang.

Putihmu bersinar terang.
Cahayamu bukan pinjaman,
kerana aku yakin ia kurniaan.
Bulan katakan padaku, apa amalmu?

Hikayatkanlah kisah patuhmu.
Tiada pernah berlengah sekelip waktu.
Kisahkanlah suka dukamu.
Tiada pernah lelap memerhati malam.

Bulan mesra menutur.
Beremosi redup dalam bersinar.
Aku makhluk sebelum Adam.
Aku tercipta tanpa akal.
Aku mengabdi pada Tuhan,
tugasku mengkhadami insan.
Munculku bawa khabaran,
di sana ada Tuhan.
Hanya sebijak Ibrahim,
faham cerita tauhid dari bulan.

Aku kendur dengan kelat,
kelat di mata.
Aku merenung sebuah surat,
sungguhlah kami lebih dimuliakan.
Lantas kamilah yang menghinakan.
Hina selepas mulia, perit kekalahan.

Ku sedar.
Ku pejam lagi.
Bulan terus memerhati.
Sayu dan kelu.

Siddiq Osman
Khartoum Sudan.
Universiti Antarabangsa Afrika.

mingguan malaysia 11-11-2007

[+] Baca Selanjutnya

Rezeki Laut Mediterranean

Oleh: Syafik Zulakifli
Disiarkan di majalah Fokus SPM November 2007


Rezeki Laut Mediterranean
(untuk si kecil di Iskandariah, Mesir)

Lelah menyaksikan
pada raut wajah si kecil
membonceng basikal usangnya
karam entah bila…

Kutebarkan senyuman
buat si kecil
yang merisik kasih
menyuap setitik rezeki
yang paling
teragung…

Si kecil penjual aiskrim
hanya menurut perintah lagi
berdikari seorang diri
pastinya ia anugerah Ilahi.

Syafiq Zulakifli
Johor Bahru, Johor.

[+] Baca Selanjutnya