Nota Kecil di Hujung Isyak II
Malam yang keras
kutakung seluruh Cinta yang melimpah di sejadah
menyatu di rumah iktikaf; terpecah harumnya
yang menakluk seluruh negeri peribadi
saat segugus bintang
dan secebis bulan
menjadi seutas tasbih
di tangan kecilku.
Sekali ini, wahai pemilik langit, izinkan
aku berbicara dengan percakapan tulus
tentang usia yang kian sarat
dan perjalanan yang betapa berat
bahawa aku adalah lelaki
yang kehilangan sejuta kudrat
dihunus
oleh dosa lampau yang berselirat.
Anugerahkan aku sekuntum nafas terakhir
yang terpetik
dari sebidang ladang syahadah
lantas subur jalannya
damai menghantarku berteduh di bawah
rendang pohon-Mu.
Lewat iklim muhasabah yang gelisah ini
kuintai dengan sorot hati
segeluk doa
yang menumpah di bawah langit
betapa aku adalah kesombongan yang kerdil
terbunuh di bawah ketinggian-Mu
Agung tak terjangkau
oleh tumpul sebilah lidahku
Malam yang keras
segugus bintang
dan secebis bulan
menyatu dalam sehelai nota tahajudku
Fahd Razy
South Circular Road, Dublin
5 Februari 2006
Mingguan Malaysia, 23 Julai 2006
Antologi cerpen, puisi, dan rencana ’Wilayah Perang’, 2007
Wednesday, November 28, 2007
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006
Posted by GKLN Publishing House (GPH) at 11:20 AM
Labels: puisisayembara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment