PUISI-PUISI PEMENANG SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK 2006
PERTAMA
Nama: Nur Adilah Zarin
Alamat: Dublin, Ireland
Kolej: Royal College of Surgeon in Ireland
Jurusan: Perubatan
Tahun: Kedua
Perjalan Mencari Pelangi
Kepul-kepul hitam ialah kumpulan awan resah yang menghempap kedinginan petang,
Siulan angin menderu bagaikan satu salakan panjang yang merayu
Bukankah dulu pernah diperingat?
Satu waktu akan memutar, satu waktu akan tersasar,
Dan tatkala jasad baru terasa dihembus roh,
Tergigil sendiri di hadapan cermin berhabuk yang sudah lama tidak disentuh
Cuba mengintai di sebalik topeng usang yang retak
Mana diriku inginku lihat?
Dan bila cermin sembahkan bayangan satu lohong hitam yang pekat
Jelas itulah diriku yang kulihat
Dan dengan serta-merta dunia menjadi amat sunyi
Walhal keliling berantai manusia mata bercahaya.
Dan aku masih berdiri disini mengenggam peta
Setapak langkahku tak pasti ke kiri, kanan, hadapan atau pun belakang?
Merenung langit kuharapkan suluhan berterusan
Yang kudapat hanya cahaya yang berbalam-balam?!
Syaitan pun membisik, Nafsuku pantas mahu berhelah
Berhenti! Jangan pantas kau tuding langit!
Tudinglah pada lidah yang kontang dengan zikrullah,
Yang kenyang dengan hasil daging saudaramu
Tudinglah pada hati yang gersang tanahnya tak dibaja nur Iman
Yang sengaja kau biar mengeras dan menghitam
Tudinglah pada serapah syaitan yang kau biar berdengung di setiap celahan nadi
Tudinglah pada mata separa buta dari menghadap ayat-ayat suci Tuhanmu
Tudinglah pada dahi yang tidak akrab dengan bumi
Tudinglah pada diri!
Jangan pantas kau tuding Ilahi!
Lalu dengan kaki yang berat dan jiwa separuh dirawat,
Teruskan melangkah menjejak ekor cahaya yang tersisa tadi
Tinggalkanlah satu lagi bekas di tapak perjalanan hidup ini
Tinggalkanlah langit petang tadi
Dan di hatiku masih berharap di hadapan bertemu pelangi.
*************************************************************
KEDUA
Nama : Adibah Abdullah
Tarikh Lahir : 30 OGOS 1986
Tempat Pengajian : Uni of Manchester
Jurusan: Perubatan
Tahun Pengajian: Pertama
Alamat : Manchester, UK
Fenomena I – Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia!
mata separuh terbuka memandang dunia
di sebaliknya menggelinjang roh-roh anak muda
syahadah dalam genggaman terasa membara.
teruja oleh hangatnya darah dan air mata
mendidih dalam kawah-kawah di pinggiran dan tengahan benua
biar jasad rentung dibakar bola-bola berapi dari langit dunia
tanah sejengkal dipertahankan juga
tudung sehelai dijulang seagung mahkota
gelisah oleh lancangnya fitnah dan dusta
oleh jahiliyah bermata satu berkepala dua berlidah cabangnya tiga
manipulasi persepsi, emosi, rasionaliti dan bahasa
agar terjemahan kebenaran diambil dari kamus mereka
oleh ilmuwan songsang pengkhianat amanah
penghujahan seperti arak yang memabukkan
seperti air laut yang diminum sang kehausan.
hujan batu gugur menghunjam bumbung ummah
menerobosi liang-liang yang terdedah
dan menerajang tembus pada retak-retak yang menanti runtuh
pudarkah suria tajdid di sebalik bianglala pesona dunia
hingga jasad asyik dalam maya yang fana
sedangkan roh-roh anak muda terpenjara menggelinjang ingin membela
mahu menyahut seruan yang bergema keliling mandala satu dunia
bersatulah, berjihadlah, berpaksikan syahadah mempersaksikan satu Tuhan Maha Esa!
roh-roh anak muda, merontalah, menggeleparlah
tendanglah mata-mata pada jasad yang memenjara
biar ia luas terbuka
dan kalian bebas beterbangan ke setiap inci dunia
agar tidak luluh jiwa walau terbujur raga
agar tidak mati bicara walau kelu suara
laungkanlah takbir
laungkanlah syahadah
bergeraklah sederap searah
muda-mudi Islam, sirah terhampar meriwayatkan seribu kisah
teguhnya Ali mencagar nyawa di peraduan Nabi
pintar Aisyah srikandi sayap kiri perjuangan
fasih dan hikmah Mus'ab sang duta da'wah pertama
Usamah perkasa memimpin angkatan seusia belasan
kilau pedang Muhammad al-Fatih memangkas puaka gelap Turki
hangat darah juang mereka masih berdenyutkah dalam nadi?
dunia baru Islam
nyata dalam cita-cita dan harapan
paparan kini, kemelut menyesakkan
galuran sirah, antara keagungan dan keruntuhan
roh-roh muda, merontalah, menggeleparlah, terbanglah
kita tebus darah khilafah
kita cuci dosa ummah
dengan degup jantung berirama takbir dipacu syahadah
Allaahuakbar!
*******************************************************
KETIGA
Nama: Sakinah binti Md.Rifin
Alamat: Dublin, Ireland
Tarikh lahir: 27 April 1985
Universiti: University College Dublin
Jurusan: Perubatan
Tahun Pengajian: Tahun kedua
Tarian Maut Duniawi
Tersimpul duka pada derita yang mencengkam,
Erang tangis mencairkan simpati belas,
Rayuan pertama yang bernada sayu,
Pulang menerima pandangan salju beku,
Usah diharap lagi ihsan yang takkan berbalas,
Kerana kau mencipta hening di bintang mata,
Apabila mengerdip kau terpukau kelayuan,
Untuk merengkuh sinarnya yang makin malap,
Tarian maut…
Berpencaran pada ambang matamu,
Dan saat itu kau menginsafi,
Dunia ini hanyalah…
Serpihan kristal,
Yang terlalu rapuh,
Untuk dibawa ke alis kening,
Bersama mimpi yang bermadu manis
Ya Rahman…
Hanya Engkau yang menyimpan seribu satu rahsia,
Maka lindungilah kami,
Yang sentiasa berharap pada mawaddah-Mu.
(Khas buat mangsa-mangsa kekejaman Israel terutamanya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa)
***************************************************
***************************************************
***************************************************
SAGUHATI
SATU
Nama : Nurin Mazaya binti Zulkifli
Alamat : Furzedown Road, Southampton, UK
Latar belakang:
* graduan UIAM dalam jurusan Pengajian al-Qur'an
* surirumah sepenuh masa, telah berkahwin dan dikurniai seorang anak
* suami; Ahmad Affzan Abdullah, penuntut PhD dalam bidang kejuruteraan di Univ of Southampton
Janji Tuhan itu Pasti
dunia sedang tertawa
dan media sedang berteriak
menuding jari-jari jelek,
kotor dan hina
ke arah kita,
ya, ke arah kita
yang bersaksi untuk tunduk dan percaya
pada Allah serta Rasul-Nya,
jua hari Akhirat saat kebangkitan semula!
semberono saja mereka memperolokkan kita,
menuduh kita menindas
mencabuli hak asasi manusia,
kerana Tauhid yang kita pertahankan
dan riddah yang ingin kita hancurkan,
Islam dikeji dan dihinakan!
tidak cukup kita dilabel pendokong keganasan,
sedang anak-anak kita di seluruh dunia
beradu dengan sakit dan kelaparan,
sedang pemuda dan pemudi kita
bermandi peluh berdarah demi
mempertahankan maruah tanahair
dari pencabulan kekufuran...
dunia yang semberono!
semberono saja mencabut kemuliaan kita,
namun adakah kejahilan kita sendiri
yang membenarkannya?!
dunia yang bertuhankan nafsu
bercerminkan logika 'aqal manusia,
cuba bermain dengan falsafah hak dan undang-undang,
meletakkan yang kafir dan mukmin itu setara
seolah-olah Tuhan mereka dan Yang Maha Esa
tiada beza, sama dan serupa?
Maha Suci Tuhan yang menciptakan dunia
buat insan zalim yang penuh jahil dan alpa!
tidakkah mereka tahu
tampak benar meski berhujah keliru,
sungguh aku tidak menyembah tuhanmu
dan tidak sesekali bisa kau samakan
kalimah toyyibah yang aku ikrarkan
dengan cara hidupmu yang sia-sia
dan tuhan-tuhan yang engkau ciptakan!
mengertikah engkau harga sebuah keyakinan
andai aku mengatakan sepertimana
firman ar-Rahman,
"bagimu agamamu dan bagiku agamaku"
dan hanya pada-Nya seluruh hidup aku sembahkan?!
dunia yang penuh fasad
dan kemungkaran yang nyata,
dengan selamba menjadi pengadil
pada perdebatan yang tercela,
dan betapa jeleknya bila yang mengaku Muslim
menjadi sekutu hina mereka,
ibarat ayam berkokok
sedang mentari tegak di atas kepala
ingin gah tapi jahil
akan beza yang palsu dan nyata!
kita yang sekerdil ini,
yang mahukan Islam kembali bertakhta
kita yang sehabis nyawa cuba mengamankan dunia
menyulam keindahan Islam
menyubur cinta dan keadilan Pencipta,
kita yang kelihatan seperti hanya dua dan tiga
di hadapan jutaan liberalis agama
serta mereka yang bersarang kufur di dada,
adakah mungkin menang
dalam majlis timbang tara
bila hanya 'aqal dan nafsu
menjadi paksi neraca?
aku tahu, mahu dan percaya
janji Tuhan maha benar
al-Haq pasti berjaya,
meski kerdil, meski sedikit
itu bukan ukurannya,
tapi hanya iman dan taqwa
yang bisa menjulang semula
cara hidup Islam di alam nyata!
dari jendela rumah kecil ini
dunia kuperhatikan,
moga dengan kacamata iman
bersuluh ilmu kebenaran
serta pembaharuan mengembalikan
'izzah dan kesucian,
jalan juang ini bisa aku susuri
agar dapat ditemukan di hujung perjalanan
kemenangan Islam dan kedamaian yang hakiki
meski dua mata tak sempat menyaksikan
meski ruh telah menempati barzakh
dan dunia hanya jadi kenangan,
perjuangan ini milik yang berjanji
dengan dua kalimah penyaksian,
bertali arus dan tak akan putus
hatta dunia hilang erti kewujudan,
kerana Allah Taala telah lama menjanjikan
kemenangan milik Islam dan mereka yang beriman!
DUA
Nama: Bint Al Huda Kamarudin
Alamat: Dublin, Ireland
Tempat Pengajian: Royal College of Surgeon in Ireland
Tahun Pengajian: Ketiga
Dunia baru Islam
(nota buat si taghut dan mujahid yang melawannya)
Ketawalah sepuasnya
Kerana itu kan menjadi
kekekan terakhirmu sehingga eterniti
Engkau tatapi megah
Kejayaanmu membunuh
Merompak, memperkosa
Ta’jub..kau berjaya menjadi penguasa dunia!
Tapi kasihan..kau buta akan hakikat
Semuanya fatamorgana belaka
Kerana saat al-ard
Belakangnya membongkok menyembah mati
Saat rakusmu ditunggang
Iblis, saudaramu yang sejati
Nur yang tidak kan padam
Kan kembali menyuluh alam
Membenamkan zulmatmu
Nuurun ‘ala nuur
Dan yang haq pastikan berlaku
Saksikanlah, ya ummati
Merah likat itu
Tangisilah, ya ummati
Sembahan hina bumi itu
Perangilah, ya ummati
Si taghut dajal itu
“Sesungguhnya ALLAH
telah membeli daripada orang mukmin
Harta dan jiwa mereka
Serta membalasnya dengan syurga”
Nuurun ‘ala nuur
Dan yang haq pastikan berlaku
***************************************************
***************************************************
***************************************************
HADIAH GALAKAN
SATU
Nama: Jamilah Mohd Yusoff
Universiti: Uni College Cork
Jurusan: Perubatan tahun kedua
Bangkit dan Berdirilah!
Pekikan Allahuakbar menaungi bumi
Gegak-gempita membingit telinga
Hamparan merah darah syuhada
Gerimis peluru berpayung debu
Asap hitam menggelita langit
Bumi Islam digegar lagi
Gema raungan minta dikasihani
Dimanakah saudara dalam nestapa
Umat Islam kehilangan bicara
Tangan terikat kaki terbelenggu
Rebah di medan duniawi
Dimamah kerakusan kaafirun
Lupa pada rukuk dan sujud
Alpa pada zikir dan munajat
Perbezaan selalu membataskan kita
Keegoan memecah-belahkan kesatuan
Musuh berpadu menghancurkan kita
Kita masih angkuh untuk menghulur tangan
Taghyir diri istighfar dituturi
Jalinkan ikatan aqidah dan ruhiyyah
Eratkan genggaman satukan saff
Singkirkan batas tautkan hati
Selagi taqwa masih bernafas
Selama mana syahadah masih berdenyut
Kalimah thayyibah mesti dipertahankan
Kembali kita kepada Yang Satu
Sujud mendamba kasih Rabbulalamin
Titisan air keimanan membasuhi jiwa
Alunan zikrullah menghiasi bibir mulus
Lembaran kitab suci ditatapi dan dihayati
Madrasah dibugar risalah disebar
Manhaj Rasul menjadi ikutan
Menjulang makruf menghapus kemungkaran
Qum Faanzir!
Bangkit dan berdirilah wahai ruhul jadid
Pacakkan batu istiqamah
Thabat melangkah tiada gentar
Tiada perhentian melepas lelah
Andai terkorban syurga menanti
Kezaliman durjana pasti berhukum
Kesabaran dan doa menjadi perisai
Apabila kalimatullah menyelimuti angkasa
Kemenangan itu pasti datang
Itu janji dari Ar-Rahman
Panji Islam pastikan tertegak di puncak agung
Megah berkibar disimbahi cahaya Ilahi
DUA
Nama: Khairiah Jaafar
Universiti: Royal College of Surgeon in Ireland
Jurusan: Perubatan tahun keduan
Demam Kita: Rindukan Berdirinya Amirul Mukminin
Demam umat ini
Kudemahi ia yang makin kronik itu
kerana rindukan berdirinya seorang Amirul Mukminin?
kerana impikan Islam ikutan seluruh buana?
sempat dua pertiga daratan diawani
gema syiar dan izzah kita: muslim!
juga dua lautan pernah diredahi
Pasti, manusia Amazon sudah mendengar
sepatah kata : Islam
daripada nafas dan suara alam yang bertasbih
“ Kami muslim sejati!”. Ceruk mana masih terlindung?
(sayangnya, terbayang oleh mereka adalah letupan dan
mati katak)
tapi umat Islam yang kusayangi ini alpa
dunia ibarat air masin, ditelan bertambah dahaga...
Demam umat ini
bakal doktor muslimah ini mencari syifa’
adakah ia kerana virus?
tanda kerapuhan dan kelepuhan iman?
maka antibiotik tiada kan berkesan
kerana antivirus, Quran telah dibiar lapuk dan
diperlekeh!
juga Sunnah dijeling saja
Harus diyakini, memang dekat pertolongan Allah
sesaat lagi, senafas
gunung kemenangan akan sampai dan milik kita: muslim!
saudara yang sakit akan sembuh sihat walafiat
saudara yang telah pergi juga dapat rasai
kesejahteraan abadi
hanya setelah kerja amal islami dipenuhi
“Ayuh bekerja, kita ini semua mujahiddin islam!”
an-nasr : ayat 1-3
TIGA
Nama: Nur Hafizah Mohd Noor
Universiti: Royal College of Surgeon in Ireland
Jurusan: Perubatan tahun kedua
Hanya gerhana, yakinlah dengan kebangkitan Islam
(Menghalusi Jundullah-tsafaqatan wa akhalaqan)
Hanya gerhana,
begitu pujukku pada jiwa yang lelah
lewat infarksi khilafah Uthmaniyyah
Sedari engkau,
Putih pernah lunturkan hitam
Saat empat khulafa’ membasuh daki jahiliyah
Dengan sesuci air di multazam
Tatkala merentap mesir, syria dari tangan romawi
Nuruddin, Salahuddin, Mamaliki
Bermandi darah, keringat dan air mata
Agar nur islam terus menyala
Waima hamasah krusader dan monggol
Tiada henti menghembus bara yang hampir padam
Wahai jiwa yang gundah
Biarpun sekarang,
kita ibarat singa terikat
Kacau, rungsing dengan kealpaan diri
Ditipu licik si tikus
Biarpun dirantai kemunduran
Dilarik-larik pemikiran, ekonomi atas peta kolonisasi
Dan dicipta tembok pemisah bernama nasionalisma.
Namun,
Islam mampu bangkit!
Kerna tanah-tanah, gunung ganang dan padang pasir kita
Terlimpah kekayaan luar biasa
Shaksiah Islami pantas memugar kembali
Akhlaq insan nazak diserang virus westernisasi
Wacana fikir generasi rabbani mampu merentas semesta
Membina bangunan ummah pada satu paksi
Ayuh,
Kita tiupkan kembali ‘izzatul islam
Saat itu,
Tonybee pasti kan terkesima
Pabila wehdatul ummah bangun dari lena panjang
Dan Paramashdor kan mengigit jari
Pabila barisan islam turun dari langit
Membenarkan hitungannya!
EMPAT
Nama: Nur Aisyah Zainoordin
Universiti: Uni of Dundee
Jurusan: Perubatan tahun ketiga
Imbauan kisah
Kita suka dengar cerita
Kita suka baca novel
Dan kita suka tengok TV
Sebab kita seronok mendengar cerita
Tapi pelik betul,
bila orang ajar kita sejarah
Kita dengar tapi kita malas ambil perhatian
sejarah dibelajar setakat untuk lulus peperiksaan
tapi untuk masuk dalam hati
untuk direnung ambil pelajaran
kita tak pernah terfikir sejauh itu
Pada kita, sejarah terlalu berlalu,
buat apa mahu dikenang-kenang?
Mulakan kehidupan baru pada hari mendatang!
Itulah satu kesilapan kita!
Satu ketetapan Allah,
Jika tanpa oksigen manusia akan mati,
Begitu juga, jika tanpa iman, Islam takkan bangkit semula!
Kita tengok diri kita sekarang, dan kita imbau sejarah lampau
Kita akan tahu dan sedar,
Kenapa Islam boleh jadi lemah sekarang,
dan bagaimana dahulu islam mampu memimpin sebuah empayar!
Kita belajar dulu
Rasulullah susah-susah nak sampaikan Islam
13 tahun kat Mekah cuma 313 orang sahaja patuh kata baginda
Kita tahu juga
Orang Islam zaman sahabat dulu selalu disiksa
Selalu dipukul dan dihina
semata-mata kerana mereka sayangkan aqidah mereka
Setelah itu apa yang berlaku pada mereka?
Mereka jadi kuat
Jiwa mereka kebal
Iman mereka mantap
Jihad mereka tidak boleh dikalahkan
Di ketika itu kalimah Allah ada di mana-mana
Kerana Islam mengajar mereka,
'Serulah manusia kepada Allah...!!
bergegarlah kaki-kaki mereka dan berderaplah langkah kuda-kuda mereka
berlari-lari menyampaikan kalimah haq
sehinggalah,
Mereka mampu meruntuhkan Empayar Rom
Mereka mampu menjelajah sepertiga dunia
mereka menjadikan Islam sebagai orde baru dunia!
Tapi
Setelah kekayaan melimpah ruah
Setelah kekuasan berleluasa
Ketika itu zaman kegemilangan Islam
Ulama Islam muncul bagaikan cendawan subur
Sumber Ilmu berada di hujung jari sahaja
Tapi lihat apabila Al-Quran dilupakan
Apabila kemewahan menjadi idaman
Apabila jihad menjadi slogan yang tidak diamalkan
Bangsa kuffar mula mengaum kencang
Menjilat dan membaham kita yang sedang jatuh leka
Dan ketika itu,
di saat kelekaan,
mereka mula melancarkan peperangan mereka,
Setelah mereka kalah di Khaibar,
kalah di medan Perang Salib
dan kalah di konstatinople,
mereka bangkit menentang kita habis-habisan
sehinggalah khilafah kita jatuh
dengan dahsyatnya
sehinggga manusia bernama Islam tidak menyedari
bahawa tahun 1924
adalah tahun kematian umat Islam
Tidakkah kita belajar dari sejarah?
Mengapa kita boleh jadi demikian?
Bagaimana satu empayar yang hebat,
yang bertahan selama 1400 tahun yang lampau
hanya boleh jatuh dengan sekelip mata?
Tidakkah itu satu kepelikan?
Tentu tidak jika kita menoleh pada sejarah
Kerana sejarah melabuhkan tinta
Salahudin adalah orang yang tak pernah tinggal tahajudnya
ketika beliau berjaya membebaskan baitul maqdis
Muhamad Al-Fateh orang yang tak pernah tidur
memikirkan bagaimana untuk menawan Konstatinople
Abu Bakar, Umar, Ali, Ustman, Saad Abu Waqqas,
yang hari-hari mereka tidak pernah kering
dari bacaan Quran, dan telaah ilmu dengan Rasulullah.
Hasilnya mereka berjaya menjadi manusia perkasa!
Tapi apabila kita tidak seperti mereka,
di ketika dunia mengelabui mata kita,
di ketika itu saat iman makin melemah,
dan di saat itulah zaman kehancuran kita!
Dan jika perhatikan mengapa di ketika ini kedudukan kita adalah sangat terhina,
Ini adalah kerana
sejarah tak pernah masuk ke dalam hati kita
dan kita tak pernah belajar dari sejarah
Kerana sejarah mengajar kita
untuk membangunkan satu bangsa
untuk melonjakkan sesuatu ummah
Ia bermula dari persoalan mendasar yang sangat agung
iaitu kembali kepada sumber terulung
Quran dan Sunnah yang dipelajari dengan hati yang bersungguh-sungguh!
Serta mengikut jejak Rasul,
bagaimana baginda mampu mendidik
generasi para sahabat baginda yang agung
Wednesday, November 28, 2007
Sayembara Puisi Berunsur Islam UK-Ireland Ke-II 2006
Posted by GKLN Publishing House (GPH) at 12:26 PM
Labels: puisisayembara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment