Wednesday, November 28, 2007

Sayembara Puisi Berunsur Islam UK-Ireland 2005




SAJAK-SAJAK PEMENANG SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND 2005





S-A-T-U

Lambaian Kaabah

Labbay-ka Allahumma Labbayk
Labbay-ka La Syareeka La-ka Labbayk
Inna al-hamda Wa an-Ni’mata
La-ka Wa al-Mulk, La Syareeka Lak!

Gema talbiah menghiasi gelap malam
Lambaian Kaabah menggamit rindu
Mewarnai ruang hati yang dahulu gersang

Sungguh! Pujian hanya untuk-Mu
Pemilik segala kekayaan
Raja segala raja
di langit dan di Bumi
Demi Tuhan, tiada sekutu bagi-Mu!

Ya Rahman,
Dengarkanlah rayuan nuraniku
Telah ku sahut seruan-Mu
Ku bisikkan kalimah rindu
Ingin kumiliki al-Hubb yang Abadi

Teguh ku berdiri menghadap istana agung
Dalam lautan manusia meminta doa
Masihkah terbuka untukku gerbang maghfirah
Sedang aku seorang ma’asi yang
terlalu dikit sujudnya?

Biarkan…
Biar basah bumi lahirnya anbiya’
dek hujan munajat
Kerna, tak tertanggung lagi beban noda
Walau tiada arifku
Bisakah luntur ia dari hati
Suci sejernih segaran zam-zam?

Sedar aku tiada layak menghuni al-Firdausi
Dalam kerendahan ku sembahkan ruku’
Lazim mendamba mercu kasih yang hakiki
Hingga keringat membawa pergi segala dosa

Allahumma…
Andai esok ditakdirkan bertemu-Mu di Mahsyar
Moga ‘Arafah menjadi saksi
Aku bukan lagi ghafilun.

Zulaikha Mohamad Khazin





D-U-A

Bila Jiwa Mengingati Mati.

Bila jiwa mengingati mati,
terjelepukku menyungkur dahi,
teresak-esak menangisi,
betapa hina diri ini...

Bila jiwa mengingati mati,
ruang yang luas sempit sekali,
dosa-dosa melitupi,
melumuti,
menajisi segenap segi,
menyesakkan sanubari,
seakan tak mampu bernafas lagi...

Bila jiwa mengingati mati,
engganku tinggalkan sejadah ini,
risau tak akan ada lagi,
kesempatan kedua kali,
sujud mendamba keampunanMu Illahi,
ampunkanlah hambaMu ini,
ke sekian kali,
sehingga tiba saat nanti,
jiwa dipanggil bertemu Illahi...

Mardhiah Masharudin








T-I-G-A

Kantung Derita Manusia

Kuhadap langit meluas
yang alpa dari sinar mata
Kukocak aliran sungai menyilau sinar
terpercik air ke tanganku , lemah
Kurentas rumput segar menghijau
terungkap gemersik
derapan kaki yang lesu

Inginku petik
daun-daun kering bertaburan
Setiap satu terpahat
Nikmatmu
Tidak tertakung
Banjir hingga aku lemas

Ku tangisi diri
Yang jumud nilai jiwa
Dalam menyingkap rahsiaMU
Selama ini
Aku yang kaku
Nakhoda tempang
Mengemudi bahtera hidup

Kini aku telah kembali
Ke jalan cinta hakiki
Ingin kupulangkan hakMU,
TUHANKU…

Aimi Rahayu Abd Rashid





E-M-P-A-T

Dia Yang Tiada Empunya Nama

tubuh yang kecil tapi namun semangatnya kuat
tatkala petang berlalu lewat
dia yang tiada empunya nama
akan mula terjaga dari lena dunia

sudahkah dia berterima kasih pada ilahi
atas pemberian selaut rezeki
atas setiap hirup nafasnya
kerana dia tiada upaya mencipta udara

sudahkah dia pertahankan islam dan iman
melalui ukhwah, salam dan penampilan
tiada biar ada calar atau kelam
kerana dia tiada menafikan dirinya muslim

sudahkah dia menikmati masa sebaiknya
kerana dia tiada istilah berpatah semula
sudahkah dia mengingati mati
kerana dia tiada abadi

dia yang sememangnya tiada empunya nama
sedar diri daif,naïf dan alpa
dan dia tiada miliki sesiapa kecuali Allah
kerana dia hanya seorang Abdullah

Khairiah Jaafar







L-I-M-A

Berteduh di bawah Hujan

Berteduh di bawah hujan
Pancuran jadi atap
Berpayung kasar titis
Berselimut dingin hembus
Deru desah jadi melodi

Hebat turun bagai dicurah-curah
Dengus tiup seperti dikipas-kipas
Beku sapa laksana sentuhan puteri salji ;
Yang jadi tambah dingin dek jejeran air mata hiba

Sungguh aku dambakan
Untuk basah dalam tangis
Atau biar lemas terus
Saat sujud menghitung cela diri

Betapa aku inginkan
Untuk menjadi yang tegar kasar
Yang menghunjam tak tertepis
Memasung pengkhianat Iman

Betapa aku impikan
Untuk berlagak sedingin mungkin
Jadi kaku bagai tak punya ingin
Biar kecewa rayu yang membahang

Benar aku harapkan
Tajamlah telinga
Cerahlah hati
Mahu mentafsir irama damai senandung alam

Biarkan kelabu berona pilu
Yakin nanti ada tenang melakar sejahtera
Sepertimana wajib mentari mencorak cahaya
Selepas hujan pergi

Nor Asriah Saffian

No comments: