Oleh: Rebecca Ilham
(httap://rebeccailham.blogspot.com)
Disiar di majalah Sastera.Net edisi keempat, Disember 2007
"Kak Naurah, papa dah nak balik."
Madeleine tersengih girang di muka pintu tatkala saya tiba tengah hari
itu. Saya tersenyum. Gadis kecil berusia empat tahun itu saya capai ke
dalam dukungan. Pipi mungil dinatari bintik-bintik coklat itu saya
kucup kedua-dua belah. Dia meringkik tertawa.
"Gelilah kak…" rengeknya manja.
"Kau terlalu memanjakan dia, Naurah."
Puan Johnston muncul dari tingkat atas. Saya menurunkan Madeleine,
dengan arahan agar menukar seragam sekolah dan bermain di playroom.
"Nanti Kak Naurah datang," janji saya.
Madeleine menurut tanpa bantahan. Rambut perang muda diikat ekor kuda
itu berayun-ayun mengikut langkah kecilnya. Argh, comelnya!
"Alan sudah bebas. Kau tahu, Naurah?"
Pertanyaan Puan Johnston merentap saya kembali ke alam realiti. Saya
angguk. Ah, siapalah yang belum tahu? Pensyarah saya sehingga
menangguhkan kelas. Dia mengerah beberapa pelajar lelaki mengheret
peti televisyen besar dari dewan kuliah utama. Sesi lima puluh minit
yang seharusnya diisi dengan perbincangan tentang dasar luar
negara-negara Eropah akhirnya dipenuhi dengan menonton sidang akhbar
dari Semenanjung Gaza.
Alan Johnston, jurnalis BBC yang berada dalam tahanan Army of Islam
selama 114 hari akhirnya dibebaskan.
Alan Jonhston adalah suami Betty Johnston yang saya panggil Puan
Johnston itu. Dia juga bapa Madeleine. Maka itu menjelmakan dia
sebagai majikan saya.
"Tahniah, puan. Pasti puan tak sabar menunggu kepulangannya." Saya
menyahut seadanya. Sebolehnya, saya mahu mengelak memperkatakan
perkara ini. Selama penahanan Tuan Johnston, tempat saya selaku
pengasuh Madeleine tidak pernah aman.
Puan Johnston, meskipun dihimpit kebimbangan dan ketakutan, masih
melayan saya sebaiknya, seadilnya. Tetapi ahli-ahli keluarga
kembangannya yang lain tidak sebegitu terbuka.
"Kata Alan, pembebasannya diusahakan Hamas."
Saya mengangguk. Tampang Ismail Haniyeh mengembang di ruang mata.
Seperti saudara-saudara lelaki saya seramai tiga orang itu, saya turut
meyakini kewibawaan pucuk pimpinan Hamas itu tanpa belah bagi.
Siapa bilang Hamas perosak, pengganas? Saya mengaku, pertubuhan ala
militia itu sedikit radikal. Tetapi, seperti selalu-selalu ditegaskan
walid kepada kami empat beradik;
Musuh kita Yahudi Zionis; manusia penipu, pembohong. Andai pendekatan
berlemah-lembut digunapakai, tidak mustahil kita jugalah yang akan
digula-gula!
Kepimpinan Haniyeh terserlah apabila Hamas memenangi 74 daripada 132
kerusi perwakilan dalam pilihanraya umum Palestin pada awal tahun
2006. Komitmennya untuk mendamaikan Gaza dan Ramallah jelas melalui
kesediaan duduk semeja dengan Mahmoud Abbas dan para pemimpin Fatah di
Mekah.
Meskipun kemudiannya dilucutkan daripada jawatan Perdana Menteri dan
kerajaan campuran Hamas-Fatah dibubarkan, Haniyeh tuntas mengatur
strategi menguasai Semenanjung Gaza; lajur kecil berkeluasan 36 meter
persegi di pinggir Laut Mediterranean, satu-satunya daerah Palestin
yang bebas daripada sebarang kekuasaan militari Israel.
Namun, puncak kebijaksanaan Haniyeh tentulah pembebasan Tuan
Johnston. Pensyarah saya berpendapat Haniyeh cuba mengutip sokongan
dunia, barat terutamanya. Saya kurang setuju, kerana selama ini pun
Hamas dimusuhi para oksidentalis. Jadi, jikalau embargo ekonomi ke
atas Gaza diteruskan sekalipun, itu bukan kudis.
Tanpa sedar saya mengorak senyum. Puan Johnston mendesah nafas.
Lamunan saya tercantas lagi. Saya merapatkan kening.
"Begini, Naurah," Puan Johnston hati-hati mengatur bicara. Saya
memasang telinga. "Untuk meraikan kepulangan Alan kelak, aku bercadang
mengadakan keraian. Bukanlah yang besar-besar, tapi khas suntuk
keluarga terdekat. Ibu bapa Alan, ibu bapaku serta adik beradik kami.
Oleh sebab kau sudah jadi sebahagian daripada keluarga ini, kau juga
dijemput bersama."
Saya menelan liur. Kalau boleh, saya tidak mahu menolak. Jikalau Puan
Johnston mengalu-alukan saya sebagai keluarga, saya sendiri apatah
lagi. Rumah ini sahajalah dunia saya; selain kampus, dan kampung
halaman yang beribu-ribu batu jauhnya.
Tetapi, mengenangkan layanan `kelas pertama' ahli-ahli keluarga
Johnston yang lain, saya tawar hati. Puan Johnston memahami. Dia
menggosok-gosok bahu saya.
"Mereka bukannya berniat buruk, Naurah. Maafkanlah mereka. Kejahilan
kadang-kala membutakan, sehingga terbit kebencian."
Saya memanggung kepala. Banyak yang saya lindungkan daripada
pengetahuan Puan Johnston. Setakat maklum kepadanya, saya sekadar
diserang secara verbal oleh kaum kerabatnya.
Ah, kalau hanya digelar-gelar, peribadi saya tidaklah sehingga
tercedera. Sudah kalih, bahkan. Malah, pasca letupan bom sekitar
London dua tahun lalu; saya masih terlalu baru di England ketika itu,
saya pernah ditohmah-tohmah lebih buruk.
Tetapi, apabila saya sibuk mengosongkan sinki seusai menidurkan
Madeleine pada suatu malam, adik lelaki Puan Johnston kemabukan
dikocak tin-tin Heineken merentap selendang pashmina yang meliliti
kepala, leher dan dada, serta cuba pula memperlakukan yang tidak
senonoh; kesabaran saya tergugah.
Saya tegas menolak. Dia keberangan, bingkas. Tangan saya dikilas
kasar. Lebihan Heineken dicurah-curah ke serata tubuh saya. Belum
puas, dia mencengkam kedua-dua belah rahang agar mulut saya terbuka.
Heineken dituang pula ke dalam kerongkong.
Betapa saya meronta, melawan. Ruang tamu cuma dipisahkan pintu, dan
sarat penghuni pula, namun tiada siapa mampir membantu. Ibu Tuan
Johnston, dalam perjalanan ke bilik air barangkali, mengerling bosan
dan menitipkan sepatah; Jangan dibunuh perempuan itu sudahlah. Nanti jadi kes homisid.
Kesudahannya – Madeleine. Entah bagaimana anak kecil itu terjaga dan
digerakkan hati menjejak `Kak Naurah' di dapur. Dia membenamkan gigi
lalu menggigit kuat betis bapa saudaranya, sekaligus menyelamatkan saya.
Puan Johnston tidak tahu, kerana ketika itu dia sedang berdengkur
halus di kamar peraduannya setelah menelan beberapa butir pil penenang
yang dipreskripsikan doktor. Manakala Madeleine; saya merasuahnya
dengan kunjungan rutin ke taman permainan setiap petang.
Jangan beritahu mama, ya? Pinta saya.
Mujur dia mahu. Insiden itu kekal menjadi rahsia eksklusif kami.
Tetapi, sebagaimana didiamkan sekalipun, malam jahanam itu tetap
terselit dalam ingatan saya sampai bila-bila.
Puan Johnston benar; kejahilanlah yang memutikkan kebencian. Pernah
beberapa kali saya mengimbasnya kembali, kemarahan beraja bertukar
simpati. Inilah natijahnya andai manusia enggan saling mengenali.
Asalkan Islam, habis dipukulrata sebagai perosak, pengganas.
Terlalu sedikit yang saya ketahui tentang Army of Islam, kumpulan
pemberontak yang mengaku bertanggungjawab menculik dan mengurung Tuan
Johnston, selain daripada ia didalangi keluarga Doghmush yang terkenal
samseng di Palestin sehingga digelar orang Sopranos of Gaza, persis
rancangan televisyen dari Amerika Syarikat itu. Tetapi menurut walid,
kemungkinan besar juga ia menerima dana pembiayaan asing. Boleh jadi
Al Qaeda. Modus operandi menculik expatriat bukankah trademark Osama
Laden?
Ah, inilah sebenarnya yang paling memalukan dunia Islam. Kegagalan
umat Islam menghayati dan mengamalkan syariat memakan diri. Mereka
lupa, segala tingkah dan perlakuan itu juga cerminan terhadap
kemuliaan agama. Akibatnya, berlaku salah faham yang mula-mula
kelihatan kecil, namun dalam jangka masa panjang akan mengikis
penghormatan terhadap Islam itu sendiri.
Justeru, saya di persimpangan. Berdalih dan menghampakan bererti saya
berdendam. Sedangkan Islam menganjurkan agar bermaaf-maafan. Namun
untuk menerima, tidakkah itu mengisyaratkan saya terlalu mudah
berkompromi?
Tuhan sahajalah yang tahu bahawa saya paling pantang diambil mudah.
Malah, rentetan titik hitam itu, saya nekad berhenti kerja.
Puan Johnston mencerlung anak mata saya. Dia mengujar lembut;
"Naurah, hubungan kita; kau dan Maddie, bukan lagi pengasuh dan anak
jagaan. Jangan sekali-kali kau lupa itu."
Saya mengeluh kecil.
Ya, saya pernah bertekad berhenti kerja. Meski pun kasih sudah jatuh
pada keletah Madeleine yang menghiburkan, kendati pun walid
berkali-kali mengutus perutusan agar berjimat kerana dia suntuk
belanja sepurnama dua ini. Namun saya cekalkan hati.
Surat peletakan jawatan sudah pun saya taip, cetak dan lipat cermat.
Ia tersemat kemas di dasar tas ketika saya membunyikan genta di
hadapan kediaman keluarga Johnston sebelum sabar menanti Madeleine
berlari lincah membukakan pintu.
Tetapi Madeleine yang saya tunggu-tunggu tidak juga kunjung tiba.
Dalam debar, saya mengetuk. Setelah itu juga gagal membuahkan hasil,
saya mendail telefon sel Puan Johnston. Sebaik-baik talian bersambung,
gegendang saya dibingitkan raungan wanita itu.
Maddie, Maddie kecelakaan, Naurah! Tolong..!
Saya cemas berkejar ke Great Ormond Street Hospital. Sampai sahaja di
sana, Puan Johnston dalam esakan menggila memberitakan Madeleine
tenat. Dia sedang bertarung nyawa di bilik bedah dan memerlukan darah.
Puan Johnston kenanaran, kerana dia bukan penderma sesuai. Tolong,
tolong, Naurah! Dia kesesakan ikhtiar merayu-rayu. Saya tidak
berlengah. Selaku pemilik darah jenis O negatif, saya adalah penderma
universal.
Tambahan pula, menderma darah bukanlah suatu kejanggalan. Semenjak
hari lahir kelapan belas, saya menderma sekali setiap tiga bulan.
Walid yang menganjurkan begitu. Di tanah air saya, darah adalah
komoditi paling berharga. Lebih mahal dari intan permata, malahan.
Satu pain darah saya kini menyatu dengan Madeleine. Sebetulnya,
perasaan saya berbaur. Puan Johnston menggelar saya savior
(penyelamat). Namun secara peribadi, saya menganggap itu sebagai
tanggungjawab manusiawi. Laksana Ismail Haniyeh mengusahakan
kepulangan Tuan Johnston yang langsung tidak dikenali, masakan saya
tegar mengabaikan Madeleine yang saya peluk cium sehari-hari?
Saya mengangguk perlahan.
Malam itu, sepulangnya saya ke bilik penginapan di kolej kediaman
berhampiran kampus universiti, saya berasa terpanggil untuk
menyelongkar tas yang sudah berbulan-bulan tidak saya kemasi.
Merungkup segala isi, sepucuk sampul putih melayah jatuh. Saya
menyambut. Nama Puan Johnston tertera. Saya tetas bucunya. Sehelai
kertas bercetak saya bentangkan. Mata tertancap pada tandatangan
ringkas di akhir perenggan. Saya tersenyum sendiri sebelum surat
peletakan jawatan itu saya renyukkan.
Naurah Haniyeh.
Julai 5, 2007
Batu Gajah, Perak
Friday, December 28, 2007
Menjadi Naurah
Posted by GKLN Publishing House (GPH) at 8:04 AM
Labels: cerpensiar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment