Saturday, December 15, 2007

Mencantum Luka di Langit Al Quds III

Oleh Fahd Razy
Disiar di Mingguan Malaysia, 9 Disember 2007





Mencantum Luka di Langit Al Quds III
(untuk sahabat)

Darah renta menitis ke pelipis matahari
dari luka zaman yang terhunus tragedi.
Cuaca yang rahsia dan hujan
berjelaga- Uh! sahabatku, gerimis
membongkah dan angin membilah
tetap kau yang datang berlarian
membonceng tubuh yang terconteng
kapur perang
mengutip peluru antara selerak debu
moga-moga dalam kocekmu
ia jadi sebiji tamar madu
untuk membebat pedih ibu.

Di negeri ini air mata adalah matawang
untuk membeli kehidupan
dan kelaparan menjadi roti beracun
di sepinggan harapan. Kautetap memilih
keberanian sahabatku, kaumenelannya
batu kasar dan suara yang tak kenal gusar
meski lidah tercedera
dan kerongkong dicalar
sengsara- betapa segelas muslihat
dari tangan pengkhianat, katamu,
“selamanya adalah kedahagaan yang memekat”.

Bumimu yang terbakar, sahabatku,
biar, biar tumbuhnya
esok syurga yang mekar.

Saat kemanusiaan cuba menjahit
langit sejarahmu yang tersayat- Uh! hurufmu
dan darah langit- merahnya
masih tak dapat kubeza.

Fahd Razy
Upper Rathmines Road, Dublin
September 2, 2007

No comments: