Oleh: Rebecca Ilham
Disiar di Berita Minggu
Langit Lazuardi
Mereka pindahkan saya jauh-jauh. Nun ke Torgersen Hall ke utara kawasan kampus, kira-kira sebatu dari West Ambler Johnston. Saya minta hendak balik menginap di kamar lama, di tingkat empat West AJ; kolej kediaman yang saya diami sedari semester pertama menghadiri Virginia Polytechnic and State University, Blacksburg, Virginia.
Namun permintaan saya ditolak mentah-mentah. Malah, segala artifak peribadi yang saya tinggalkan tempoh hari juga sudah diangkut masuk ke kamar baru. Bila, dan oleh siapa – saya tak diberitahu. Cuma, mereka memaniskan wajah menyuruh saya memaklumkan kalau ada yang kurang.
“Tetapi, kamu perlu faham ya, Tamara. Boleh jadi yang hilang itu diambil pihak polis. Kamu tahu kan, sebagai barang bukti.”
Urghh. Apa-apalah. Saya meninggalkan pejabat Residence Life bersama segugus kunci baru. Torgersen sepelaung cuma, saya boleh ambil jalan pintas ikut belakang kafeteria. Tetapi saya tak mahu bersegera.
Cuaca terlalu baik - lapan puluh satu darjah Fahrenheit. Mentari memancar terik. Langit biru lazuardi tanpa sebarang calitan gemawan. Konifer mula rimbun, saujana mata memandang. Bayu musim bunga, tidak terlalu hangat, tidak juga sejuk mencengkam, berpuput lembut. Setelah berbulan-bulan berbungkus tebal bahana ribut salji menggila, saya rasa sangat rugi jika hari seindah ini tidak dimanfaat sebaik-baiknya.
Lalu saya mengambil jalan jauh. Sengaja saya lewati deretan bangunan cobblestone di tengah-tengah zon akademik universiti. Davidson. Hahn. Robeson. Williams. Burrus. Setiba di persimpangan, kaki saya terhenti.
Kalungan bunga berdiameter tiga kaki lebih kurang digantung tinggi. Bunting gergasi bersulam huruf-huruf jingga-merun membentuk frasa Hokie Hokie Hy, Techs Techs VPI berkibar-kibar. Pintu agam bertutup rapat, berkunci kejap. Saya telan liur.
Norris.
Saya telefon Tray, bertanyakan lokasi kelas Bahasa Jerman yang baru. Dia diam seketika, menguap. Eh, masih tidur? Saya kerling jam loceng di pinggir kepala katil. Angka lapan, empat dan sifar tertera. Kelas akan bermula dua puluh minit saja lagi! “Kelas tu dah dibatalkan, Tammy. VT mana ada profesor Bahasa Jerman selain Jamie?”
Oh. Saya terkedu. Khali. Lama. (BERSAMBUNG)
BACA SELANJUTNYA DI ANTOLOGI CERPEN GKLN 'JALAN JAUH KE RAMALLAH'
Wednesday, November 28, 2007
Langit Lazuardi
Posted by GKLN Publishing House (GPH) at 11:53 AM
Labels: cerpensiar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment