Wednesday, November 28, 2007

Bicara Dengan Bulan

Oleh: Siddiq Osman
Disiarkan di Mingguan Malaysia 11 November 2007

Bicara Dengan Bulan.

Sudah adat sudah hakikat,
munculmu mengganti suria.
Sudah sunnah itulah aturan,
dikau mengambang dikau menghilang.

Putihmu bersinar terang.
Cahayamu bukan pinjaman,
kerana aku yakin ia kurniaan.
Bulan katakan padaku, apa amalmu?

Hikayatkanlah kisah patuhmu.
Tiada pernah berlengah sekelip waktu.
Kisahkanlah suka dukamu.
Tiada pernah lelap memerhati malam.

Bulan mesra menutur.
Beremosi redup dalam bersinar.
Aku makhluk sebelum Adam.
Aku tercipta tanpa akal.
Aku mengabdi pada Tuhan,
tugasku mengkhadami insan.
Munculku bawa khabaran,
di sana ada Tuhan.
Hanya sebijak Ibrahim,
faham cerita tauhid dari bulan.

Aku kendur dengan kelat,
kelat di mata.
Aku merenung sebuah surat,
sungguhlah kami lebih dimuliakan.
Lantas kamilah yang menghinakan.
Hina selepas mulia, perit kekalahan.

Ku sedar.
Ku pejam lagi.
Bulan terus memerhati.
Sayu dan kelu.

Siddiq Osman
Khartoum Sudan.
Universiti Antarabangsa Afrika.

mingguan malaysia 11-11-2007

No comments: